Anak tak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut walad al-zina yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah. Para fuqaha' bersepakat bahawa anak zina ialah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil penzinaan dan bukan dari perkahwinan yang sah atau pun persetubuhan syubhah (persetubuhan oleh lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah).
Oleh itu kesahtarafan seseorang anak adalah merujuk kepada perkahwinan yang sah daripada kedua ibu bapanya. Rasulullah s.a.w bersabda :
Maksudnya : (Kesahtarafan) seorang kanak-kanak berpunca daripada tempat tidur (kedua ibu bapanya yang sah) dan seorang penzina adalah layak ditahan.
(Riwayat al-Bukhari)
Menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, istilah anak taksah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah dan sama, peruntukan undang-undang menyatakan :
" tak sah taraf" berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.
Menurut Fatwa Garis Panduan Anak Tak Sah Taraf Menurut Hukum Syara' di Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 28 april 2005, definisi berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara', ialah :
- Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syara';
- Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu 'Imkan ad Dukhul' dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah;
- Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu 'Imkan ad Dukhul' selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara' bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara'.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MKI) kali ke-64 pada 27 Julai 2004 menyatakan bahawa anak tak sah taraf ialah :
- Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan;
- Anak dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh);
- Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah (saat) selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara' bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara'.
........................................................
Bah. Undang-Undang Keluarga (BUUK)
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)