Social Icons

Monday 26 August 2013

MOUTH & FOOT PAINTING ARTISTS SDN BHD

Mat Jamil Ramli,
penerima elaun pekerja cacat PKMD Petaling
Sinar Harian 30 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Mat Jamil Ramli dan Mohd Khairuddin Che Rani adalah dua insan istimewa dengan bakat yang boleh mengalahkan mereka yang sempurna anggota tubuh badan untuk memperoleh pendapatan.


Mat Jamil, 28, dilahirkan dengan kedua-dua belah tangan yang cacat. Khairuddin, 23, pula lahir tanpa kedua-dua belah tangan dan juga mengalami kecacatan tulang belakang. 



Bagaimanapun, kedua-dua anak muda ini tidak pernah menjadikan kecacatan mereka untuk mengemis kerana mereka berdua ke sekolah, meskipun terpaksa belajar menggunakan jari kaki memegang pensil untuk menulis dan belajar melukis menggunakan jari kaki juga. 

Kedua-dua anak muda ini kini menjadi artis/pelukis dengan Foot and Mouth Painting Artists Sdn Bhd (MFPA). 

Persatuan induk MFPA ditubuhkan pada 1956. Ia hasil gigih sekumpulan artis kebanyakannya dari Switzerland, Perancis dan Jerman yang melukis tanpa menggunakan tangan                                                            

Persatuan itu kini mempunyai cawangan di seluruh dunia dan kewujudannya memberi peluang kepada insan istimewa seperti Jamil dan Khairuddin untuk mengasah bakat.


TANPA TANGAN
     

Berasal dari Felda Bukit Bading, Terengganu, Mat Jamil adalah anak ketiga daripada tujuh beradik dan hanya dia yang dilahirkan cacat.

"Kalau saya sedih pun dengan keadaan saya, tetapi sedih saya lebih kerana saya tidak dapat berdikari. Saya tak mahu menyusahkan emak dan ayah atau adik-beradik saya," kata Jamil kepada Bernama di pejabat MFPA, Lot 327, Tingkat 2, Ampang Park, Kuala Lumpur. 

Di sebalik kecacatannya, Jamil berkata dia seronok bersekolah. "Masa sekolah rendah, ayah hantar. Masuk sekolah menengah, pergi sendiri naik bas. Harapkan kawan-kawan tolong. 

"Saya belajar menulis menggunakan jari kaki untuk memegang pensil. Dalam minda saya kaki saya ini saya anggap sebagai tangan," kata Jamil sambil menambah, kawan-kawan sekolah tidak mengganggu atau mengejek, sebaliknya banyak membantu. 

Di sebalik kekurangan diri, Jamil mampu bersekolah hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  
 
LUKISAN
  
Jamil memberitahu bahawa dia mula minat melukis ketika di darjah satu lagi, bagaimanapun, bakat melukisnya hanya terserlah selepas tamat sekolah.

Selepas SPM, dia mengambil kursus Teknologi Maklumat di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menyediakan perkhidmatan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) melalui latihan vokasional serta pemulihan perubatan. 

Tamat latihan, Jamil pulang ke kampung dan menganggur untuk beberapa ketika.  

"Ketika bertandang ke rumah jiran, saya ternampak kad ucapan yang dikirim oleh persatuan Mouth and Foot Artists. Saya belek kad dan ambil alamat persatuan," cerita Jamil tentang bagaimana dia menjadi anggota MFPA. 

Dia kemudian menulis surat kepada persatuan itu termasuk bertanyakan cara untuk memohon menjadi anggota.  

"Saya dipanggil datang ke pejabat Persatuan di Ampang Park di mana saya diminta menunjukkan cara saya melukis. Alhamdulillah, mereka suka dengan lukisan saya dan diterima menjadi anggotanya," tambah Jamil. 
  
ASAH BAKAT
  
Menjadi anggota persatuan itu membolehkan Jamil berdikari dari segi kewangan. Beliau menerima elaun bulanan sebagai anggota persatuan berkenaan yang cukup untuk menampung keperluan harian termasuk membeli peralatan melukis.

"Tiap-tiap bulan saya menghantar kira-kira lima lukisan yang saya hasilkan kepada persatuan. Bagaimanapun, pihak persatuan fleksibel dari segi jumlah kerana mungkin ada artis yang jatuh sakit (atau tidak dapat melukis)," katanya. 

Di samping melukis kad untuk pelbagai musim perayaan, Jamil menjadikan alam sektar dan flora sebagai sumber inspirasi lukisannya. 

Dia turut melayari Internet, melihat contoh-contoh kad serta melawat tempat-tempat menarik untuk mendapatkan ilham. 

ISTIMEWA
  
Seperti Jamil, Khairuddin atau pangilan mesranya 'Din' juga berminat dengan bidang lukisan dari usia kecil lagi.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini adalah nombor tiga daripada lapan beradik. 

"Saya anggap saya orang istimewa, bukan cacat dan saya boleh buat apa yang orang lain boleh buat," katanya bangga. 

Khairuddin bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Kedai Tanjung, Pasir Mas sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Ugama Al Falah.    Anak muda ini kurang berminat bersekolah dan tidak mengambil peperiksaan SPM. 

Lepas tingkatan lima, dia mencuba nasib berniaga pakaian di Bangi dan Serdang. 
  
DAPAT LATIHAN
  
Melukis pada peringkat permulaan adalah cara Khairuddin mengisi masa dan mula serius melukis selepas memasuki PLPP pada tahun 2010 di mana dia mengambil bidang lukisan.

Kecenderungannya ialah melukis pemandangan dan menjadikan alam sekeliling seperti sawah padi dan sungai sebagai inspirasi. 

"Saya suka menghabiskan masa berjalan-jalan melihat alam sekeliling untuk mencari ilham. Balik ke rumah saya terus menterjemahkan apa yang saya lihat ke atas kertas lukisan. 

"Nak siapkan lukisan ini ikut mood. Kalau ada mood, sehari boleh siap," kata Khairuddin yang banyak menggunakan warna air, pensil, pen dan cat minyak untuk karyanya. 

Melalui maklumat yang diperoleh daripada tenaga pengajar di PLPP, Khairuddin kemudian memohon menyertai anggota MFPA dan diterima pada Mac 2012.  

Menjadi artis MFPA juga menjadikan Khairuddin dapat menyara dirinya sendiri tanpa perlu meminta ihsan orang lain mahu pun daripada keluarganya sendiri. 

Dengan elaun bulanan yang diterima daripada MFPA, Khairuddin berkata dia mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung keperluan hidup termasuk sewa rumah, makan minum dan membeli peralatan melukis. 

"Saya tak perlu minta daripada adik-beradik. Cukuplah dengan elaun yang ada, saya bukan perlu banyak wang," kata Khairuddin yang buat masa ini menyewa rumah di Nilai, Negeri Sembilan bersama empat rakan senegerinya. - Bernama


Kepada sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan kad-kad ucapan, kalendar, pembalut hadiah boleh berhubung terus dengan :

MOUTH & FOOT PAINTING ARTISTS SDN BHD ( 122253-U )
                Lot 327, 2nd Floor, Ampang Park Shopping Centre,
                      Jalan Ampang, P.O. Box 12431,
50778 Kuala Lumpur,
MALAYSIA.
             Telephone: 03-2161 8860, 03-2161 8502 Fax: 03-2162 1504

0 comments:

Post a Comment

 

Sample text


Persijilan MS ISO 9001:2008
Kepada JKMM

Tempoh :
22 Nov 2011 - 23 Nov 2014

Daripada :
CI Internacional Certificication

Tahniah Diucapkan


MAKLUMAN PETUGAS KAUNTER

1. Memohon pemegang kad OKU lama, menukar kepada kad yang baru.

2. Pastikan 'Stapler' di sudut kecil gambar sahaja.

"Kerjasama dan Prihatin"


MAKLUMAN KEWANGAN
Bayaran Bantuan Kewangan melalui Bank bagi PKMD Petaling
adalah pada setiap hari pertama bekerja pada bulan berkenaan (1st Working Day of That Particular Month).

Anda Pengunjung

Renungan

Our Blogger Templates

 
Blogger Templates