Kaunseling didefinisikan sebagai satu interaksi antara
dua individu iaitu kaunselor dan klien, dalam keadaan profesional dan bertujuan
untuk menolong kepada perubahan tingkah laku klien.
Di dalam Islam, kaunseling mempunyai pengertian dan
kedudukan yang tersendiri. Ini selaras dengan tuntutan Islam itu sendiri yang
berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Kebanyakan sentuhan kaunseling barat lebih
bertumpu kepada perubahan tingkah laku klien kearah lebih rasional dan mengikut
garis normal hidup sebagai manusia. Inilah beza utama bagaimana kaunseling
berpendekatan Islam dilihat lebih memberi kesan yang menyeluruh bagi hidup
seseorang muslim. Namun tidak dinafikan, teknik dan gaya pendekatan kaunseling
barat boleh juga diaplikasikan semasa sesi kaunseling berlangsung.
Berkesannya kaunseling berpendekatan islam ini adalah
kerana matlamat akhir yang berbeza dengan pendekatan-pendekatan lain. Matlamat
akhir bagi sesi kaunseling ini adalah mengkehendaki klien memahami hubungan
dengan Allah swt, hubungan dengan makhluk-makhluk ciptaan Allah, tujuan hidup
dunia dan matlamat akhir hidup ini.
Kaunseling berpendekatan Islam ini menekankan 4
perkara penting iaitu pembangunan roh, akal, hati dan pengimbangan nafsu.
1.Pembangunan Roh
Pembangunan roh merupakan aspek paling penting dalam
kaunseling Islam. Bilamana roh itu sudah mula mengenali Allah, mencintai Allah,
mula takut pada Allah, yakin pada Allah dan akur pada segala suruhan dan
larangan Allah, maka manusia mula mengetahui apa tujuan hidupnya.
2. Pembangunan Akal
Membangunkan akal atau dalam kata lain, pencerahan
akal (celik akal) dapat membimbing manusia kepada kemuliaan dan ketinggian
darjat sebagai hamba disisi Allah swt. Akal fikiran adalah amanah dan
tanggungjawab daripada ALLAH yang tidak dilibatkan kepada makhluk lain dimuka
bumi. Akal fikiran dapat membezakan kebenaran dan kebatilan , juga antara
petunjuk (hidayah) dan kesesatan.
3. Pembangunan Hati
Pembangunan hati bukan sahaja sekadar menumpukan zikir
pembaikan hati dan sebagainya, tetapi yang lebih utama adalah membuang dahulu
segala kekotoran yang lahir dari dosa dan maksiat yang dilakukan. Hati manusia
ibarat bebola kaca yang jernih dan bersinar. Andai ia dikilau dengan cahaya yang
benar-benar terang, maka pancarannya akan menjadi semakin menyerlah dan menarik
orang lain untuk melihatnya. Hati yang elok berupaya memberi ilham kepada
manusia tentang hakikat dirinya dan juga Penciptanya iaitu Allah swt.
4. Pengimbangan Nafsu
Mengapa tidak dikatakan penghapusan atau perlupusan
nafsu? Ini kerana manusia juga memerlukan nafsu dalam kehidupannya. Nafsu yang
diimbang dengan hati yang jernih, ruh yang dibangunkan dan akal yang terpimpin
akan mampu membawa manusia kearah kesejahteraan lahiriah dan batinniah.
Contohnya, makan adalah satu aktiviti dalam kehidupan. Andai nafsu jahat yang
menguasai nafsu makan, maka kita akan makan secara berlebihan sehingga lahiriah
menjadi malas, dan impak yang lebih buruk akan menimpa batinniah sehingga menyebabkan
rosaknya hati dan jiwa.
Justeru itu, keempat-empat perkara diatas merupakan
tumpuan utama dalam kaunseling pendekatan Islam dimana tujuan akhir kaunseling
ini adalah membawa manusia mengenal diri dan Penciptanya.
Wallahua’lam.
C.R Suffiyyah Solehah.
0 comments:
Post a Comment