Mat
Jamil Ramli, penerima elaun pekerja cacat PKMD Petaling |
Sinar Harian 30 Oktober 2012
KUALA LUMPUR - Mat Jamil Ramli dan
Mohd Khairuddin Che Rani adalah dua insan istimewa dengan bakat yang boleh
mengalahkan mereka yang sempurna anggota tubuh badan untuk memperoleh
pendapatan.
Mat Jamil, 28, dilahirkan dengan kedua-dua belah tangan yang cacat. Khairuddin,
23, pula lahir tanpa kedua-dua belah tangan dan juga mengalami kecacatan tulang
belakang.
Bagaimanapun, kedua-dua anak muda ini tidak pernah menjadikan kecacatan mereka
untuk mengemis kerana mereka berdua ke sekolah, meskipun terpaksa belajar
menggunakan jari kaki memegang pensil untuk menulis dan belajar melukis
menggunakan jari kaki juga.
Kedua-dua anak muda ini kini menjadi artis/pelukis dengan Foot and Mouth
Painting Artists Sdn Bhd (MFPA).
Persatuan induk MFPA ditubuhkan pada 1956. Ia hasil gigih sekumpulan artis
kebanyakannya dari Switzerland, Perancis dan Jerman yang melukis tanpa
menggunakan tangan
Persatuan itu kini mempunyai
cawangan di seluruh dunia dan kewujudannya memberi peluang kepada insan
istimewa seperti Jamil dan Khairuddin untuk mengasah bakat.
TANPA TANGAN
Berasal dari Felda Bukit Bading, Terengganu, Mat Jamil adalah anak ketiga
daripada tujuh beradik dan hanya dia yang dilahirkan cacat.
"Kalau saya sedih pun dengan keadaan saya, tetapi sedih saya lebih kerana
saya tidak dapat berdikari. Saya tak mahu menyusahkan emak dan ayah atau
adik-beradik saya," kata Jamil kepada Bernama di pejabat MFPA, Lot 327,
Tingkat 2, Ampang Park, Kuala Lumpur.
Di sebalik kecacatannya, Jamil berkata dia seronok bersekolah. "Masa
sekolah rendah, ayah hantar. Masuk sekolah menengah, pergi sendiri naik bas.
Harapkan kawan-kawan tolong.
"Saya belajar menulis menggunakan jari kaki untuk memegang pensil. Dalam
minda saya kaki saya ini saya anggap sebagai tangan," kata Jamil sambil
menambah, kawan-kawan sekolah tidak mengganggu atau mengejek, sebaliknya banyak
membantu.
Di sebalik kekurangan diri, Jamil mampu bersekolah hingga ke peringkat Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM).
LUKISAN
Jamil memberitahu bahawa dia mula minat melukis ketika di darjah satu lagi,
bagaimanapun, bakat melukisnya hanya terserlah selepas tamat sekolah.
Selepas SPM, dia mengambil kursus Teknologi Maklumat di Pusat Latihan
Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat
yang menyediakan perkhidmatan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) melalui latihan
vokasional serta pemulihan perubatan.
Tamat latihan, Jamil pulang ke kampung dan menganggur untuk beberapa
ketika.
"Ketika bertandang ke rumah jiran, saya ternampak kad ucapan yang dikirim
oleh persatuan Mouth and Foot Artists. Saya belek kad dan ambil alamat
persatuan," cerita Jamil tentang bagaimana dia menjadi anggota MFPA.
Dia kemudian menulis surat kepada persatuan itu termasuk bertanyakan cara untuk
memohon menjadi anggota.
"Saya dipanggil datang ke pejabat Persatuan di Ampang Park di mana saya
diminta menunjukkan cara saya melukis. Alhamdulillah, mereka suka dengan
lukisan saya dan diterima menjadi anggotanya," tambah Jamil.
ASAH BAKAT
Menjadi anggota persatuan itu membolehkan Jamil berdikari dari segi kewangan.
Beliau menerima elaun bulanan sebagai anggota persatuan berkenaan yang cukup
untuk menampung keperluan harian termasuk membeli peralatan melukis.
"Tiap-tiap bulan saya menghantar kira-kira lima lukisan yang saya hasilkan
kepada persatuan. Bagaimanapun, pihak persatuan fleksibel dari segi jumlah kerana
mungkin ada artis yang jatuh sakit (atau tidak dapat melukis)," katanya.
Di samping melukis kad untuk pelbagai musim perayaan, Jamil menjadikan alam
sektar dan flora sebagai sumber inspirasi lukisannya.
Dia turut melayari Internet, melihat contoh-contoh kad serta melawat
tempat-tempat menarik untuk mendapatkan ilham.
ISTIMEWA
Seperti Jamil, Khairuddin atau pangilan mesranya 'Din' juga berminat dengan
bidang lukisan dari usia kecil lagi.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini adalah nombor tiga daripada lapan
beradik.
"Saya anggap saya orang istimewa, bukan cacat dan saya boleh buat apa yang
orang lain boleh buat," katanya bangga.
Khairuddin bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Kedai Tanjung, Pasir Mas
sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Ugama Al Falah. Anak
muda ini kurang berminat bersekolah dan tidak mengambil peperiksaan SPM.
Lepas tingkatan lima, dia mencuba nasib berniaga pakaian di Bangi dan Serdang.
DAPAT LATIHAN
Melukis pada peringkat permulaan adalah cara Khairuddin mengisi masa dan mula
serius melukis selepas memasuki PLPP pada tahun 2010 di mana dia mengambil
bidang lukisan.
Kecenderungannya ialah melukis pemandangan dan menjadikan alam sekeliling
seperti sawah padi dan sungai sebagai inspirasi.
"Saya suka menghabiskan masa berjalan-jalan melihat alam sekeliling untuk
mencari ilham. Balik ke rumah saya terus menterjemahkan apa yang saya lihat ke
atas kertas lukisan.
"Nak siapkan lukisan ini ikut mood. Kalau ada mood, sehari boleh
siap," kata Khairuddin yang banyak menggunakan warna air, pensil, pen dan
cat minyak untuk karyanya.
Melalui maklumat yang diperoleh daripada tenaga pengajar di PLPP, Khairuddin
kemudian memohon menyertai anggota MFPA dan diterima pada Mac 2012.
Menjadi artis MFPA juga menjadikan Khairuddin dapat menyara dirinya sendiri
tanpa perlu meminta ihsan orang lain mahu pun daripada keluarganya sendiri.
Dengan elaun bulanan yang diterima daripada MFPA, Khairuddin berkata dia
mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung keperluan hidup termasuk sewa
rumah, makan minum dan membeli peralatan melukis.
"Saya tak perlu minta daripada adik-beradik. Cukuplah dengan elaun yang
ada, saya bukan perlu banyak wang," kata Khairuddin yang buat masa ini
menyewa rumah di Nilai, Negeri Sembilan bersama empat rakan senegerinya. -
Bernama
Kepada sesiapa yang berminat untuk
membuat tempahan kad-kad ucapan, kalendar, pembalut hadiah boleh berhubung
terus dengan :
MOUTH & FOOT PAINTING
ARTISTS SDN BHD ( 122253-U )
Lot 327, 2nd Floor, Ampang Park Shopping Centre,
Jalan Ampang, P.O. Box 12431,
50778 Kuala Lumpur,
MALAYSIA.
Telephone: 03-2161 8860, 03-2161 8502 Fax: 03-2162 1504
0 comments:
Post a Comment